News

Remaja ketagih dengan media sosial – apa kesan terhadap kesihatan mental mereka?

Dr Jeremy Sng, pensyarah Fakulti Sains Kemasyarakatan di Universiti Teknologi Nanyang, berkata: “Banyak kajian mendakwa bahawa mereka menemui kaitan antara penggunaan media sosial dan isu kesihatan mental, tetapi hala tuju punca bagi kajian-kajian tersebut sebenarnya tidak jelas.” 
 
Beliau menambah bahawa metodologi kajian itu juga mesti diambil kira kerana perkaitan tidak semestinya membuktikan puncanya. 
 
“Kesan media sosial sangat sukar untuk dihuraikan kerana kita tidak sekadar menggunakan media sosial sahaja.

“Kita juga melakukan banyak perkara lain – seperti pergi ke sekolah, berurusan dengan keluarga, mempunyai hubungan, dan segala hal sedemikian. Jadi sukar untuk menentukan bahawa sesuatu telah berlaku semata-mata kerana media sosial,” kata Dr Sng.   
 
Dr Adrian Loh, perunding kanan psikiatri dari Promise Healthcare, menambah: “Media sosial wujud hanya sekitar sedekad lalu, jadi kita masih sedang cuba memahami implikasinya secara hiliran.” 

KESIMPULANNYA

Memandangkan kita tidak dapat mengelakkan diri daripada dunia yang pesat berkembang dari segi digital, para ibu bapa, profesional, penggubal dasar dan syarikat-syarikat media sosial kesemuanya perlu mengharungi pelbagai cabaran selain pendedahan dan penggunaan pelbagai wadah digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, menurut pakar-pakar yang ditemui TODAY. 
 
Demi melindungi rakyat Singapura daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan, Parlimen telah meluluskan undang-undang pada November yang membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada syarikat perkhidmatan komunikasi dalam talian untuk melindungi pengguna tempatan daripada kandungan seperti keganasan seksual dan keganasan. 
 
Syarikat yang gagal mematuhi arahan ini boleh didenda sehingga S$1 juta (RM3.4 juta).  
 
Bagi mengurangkan kesan buruk media sosial yang mungkin menjejas golongan muda, Ketua Penasihat Perubatan Amerika, Dr Murthy, dalam laporannya berkata bahawa ibu bapa dan penjaga boleh menghasilkan satu pelan media keluarga yang menetapkan batasan bagi penggunaan teknologi di rumah, mewujudkan zon-zon bebas teknologi serta melaporkan kandungan dan aktiviti yang kurang baik.

Cik Jane Goh, timbalan pengarah perkhidmatan kreatif dan belia di Persatuan Kesihatan Mental Singapura berkata bahawa usaha mendidik golongan muda tentang penggunaan media sosial adalah pendekatan terbaik. 
 
“Walaupun langkah mencegah penggunaan media sosial akan kelihatan sebagai satu penyelesaian yang mudah, ia akan juga membuat mereka rasa terasing daripada rakan sebaya mereka, lalu menimbulkan perasaan takut ketinggalan,” kata Cik Goh, yang mengulangi sentimen yang diluahkan para remaja seperti Nadheeruddin. 
 
Bagi Nadheeruddin, memandangkan dia menggunakan media sosial untuk “mengetahui perkembangan sekelilingnya”, dia bimbang akan menjadi “katak di bawah tempurung” jika dia berhenti menggunakan wadah digital itu sepenuhnya. 
 
Ini disetujui oleh Cik Nicole Pang, ketua penjagaan kesihatan mental di Impart, sebuah pertubuhan bukan keuntungan untuk golongan belia. Menurut beliau, usaha menangani media sosial bukanlah hanya dari segi menghadkan masa yang diluangkan, tetapi juga dari segi memperkasakan para remaja agar mereka tahu menetapkan batasan dan membuat keputusan sendiri sama ada mereka mahu menonton atau berinteraksi dengan sesuatu kandungan itu.
 
Cik Tham Yuen Han, pengarah klinikal di pusat rawatan ketagihan We Care Community Services berkata bahawa ibu bapa juga boleh mengutamakan usaha memperkenalkan aktiviti-aktiviti bukan digital sewaktu anak mereka masih kecil untuk mengelakkan remaja daripada terlalu bergantung kepada alat digital. 

Ini termasuk menggalakkan aktiviti luar dan sukan, terutamanya aktiviti yang melibatkan interaksi sosial berkumpulan dan secara bersemuka, usaha berpasukan dan kerjasama. 

Apa yang penting, keupayaan untuk melayari media sosial secara positif bukan sahaja memerlukan kearifan teknologi dan pengetahuan tentang risiko dalam talian, tetapi juga keupayaan untuk memahami diri sendiri dan mengawal emosi serta tingkah laku. 
 
“Kami boleh membantu golongan muda membangunkan ciri itu dengan mengadakan perbualan tentang perasaan mereka, termasuk situasi di mana mereka berhadapan dengan perkara yang mereka lihat di media sosial,” kata Dr Andrew Yee, penolong profesor dalam bidang media dan komunikasi di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura. 
 
Cik Claire Leong, kaunselor di Klinik Sofia Wellness berkata kita perlu faham bahawa mereka yang ketagih media sosial sekarang tidak semestinya akan terus ketagih dan pincang sepanjang hayat mereka. 

“Mereka boleh pulih. Ini harus bermula dengan satu kesedaran bahawa tingkah laku mereka sekarang tidak sihat, dan mereka perlu mempunyai kemahuan untuk mengatasinya,” tambah beliau.   

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.  

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai pasangan Malaysia yang memikat hati warga New York dengan ‘Lady Wong’ – bakeri kueh Asia Tenggara. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.



Source: CNA

Donate to Breeze of Joy Foundation

Global NewsX

Global NewsX is a news sharing website that offers a wide range of categories, from politics and business to entertainment and sports. With its easy-to-navigate interface, users can quickly find the news they are looking for and stay up-to-date on the latest global events. Whether you're interested in breaking news, in-depth analysis, or just want to stay informed, Global NewsX has got you covered.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button